Majlis Pengawasan Syariah Etiqa Takaful

Tuesday, January 26, 2010

Booth Etiqa Takaful di Pasar Ahad



Agensi ADS Etiqa Takaful kini melangkah ke satu tahap yang lebih kompetitif dengan pembukaan booth di pasar Ahad, Kamunting. Dengan sokongan wakil-wakil yang berdedikasi, perancangan untuk membuka booth di pasar Ahad akhirnya dapat juga dilaksanakan walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran yang tidak menentu. Sepanjang beberapa tahun terlibat dengan industri ini, inilah kali pertama para pengunjung dapat melihat sendiri kehadiran wakil-wakil memberi perkhidmatan secara langsung untuk memudahkan urusan pelanggan dan menjadi lebih dekat dengan mereka.


Idea membuka booth ini dihasilkan oleh Cikgu Jefri yang merupakan wakil yang komited dalam memberi perkhidmatan yang berkesan. Dibantu oleh wakil jagaannya, En. Azizul Hisham, perlaksanaan booth ini dilihat amat praktikal dengan kuantiti permohonan menyertai pelan takaful dan permohonan wakil melebihi sasaran yang ditetapkan. Hingga ke hari ini, perkhidmatan booth ini disokong oleh beberapa lagi wakil yang berjaya seperti En. Kamil dan En. Megat.


Aktiviti seperti ini pasti menjadi satu ibadah dalam usaha kami di Etiqa Takaful untuk membantu masyarakat di sini bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai kepentingan mendapat perlindungan takaful disamping menjamin masa depan yang lebih baik kepada diri dan keluarga yang disayangi. Matlamat kami di Etiqa Takaful untuk meningkatkan jumlah permohonan baru kepada 100 permohonan setiap bulan seperti yang telah disasarkan oleh Etiqa Takaful cawangan Taiping. Justeru, usaha yang lebih rapi perlu dilaksanakan supaya masyarakat di sini akan lebih serasi dengan Etiqa dan mempermudahkan mereka memahami keperluan merancang masa depan mereka.

Saturday, January 16, 2010

Etiqa Online:RM1,000 jika meninggal dunia

TAIPING 11 Nov. – Etiqa Insurans dan Takaful Berhad kini menawarkan perkhidmatan Etiqa Online iaitu pembayaran RM1,000 serta-merta kepada waris jika pelanggan meninggal dunia bagi menampung kos pengebumian.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa, Datuk Aminuddin Md. Desa berkata, bayaran itu boleh dituntut oleh ahli keluarga pelanggan terbabit dengan hanya satu panggilan telefon.

Kata beliau, skim tersebut membuktikan kesungguhan Etiqa membantu ahli keluarga pelanggannya mendapat bantuan di saat-saat yang memerlukan.

“Kemampuan Etiqa menawarkan produk takaful mikro itu akan membolehkan golongan berpendapatan rendah menyertai pelan perlindungan takaful dan mendapat perlindungan kewangan ketika mereka ditimpa musibah,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pejabat Etiqa Insurans dan Takaful Berhad oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di sini.