Majlis Pengawasan Syariah Etiqa Takaful

Saturday, May 21, 2011

ETIQA TAKAFUL SUMBANG RM237,900.00 KEPADA MADRASAH DARUL ISTIQAMAH


14 Mei 2011, Muar - Etiqa Takaful hari ini menyumbangkan RM237,900.00 kepada Madrasah Darul Istiqamah di sini, sekaligus menyediakan tempat kediaman dan kelas pendidikan untuk lebih daripada 130 orang anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang berkemampuan serta penjaga dan tenaga pendidik mereka.


“Janji jenama Etiqa adalah menginsankan insurans dan takaful, di mana kami ingin menjadikan semua urusan perniagaan takaful senang dan mudah untuk para pelanggan dan orang ramai. Janji jenama ini digunapakai dalam semua aspek di syarikat ini, begitu juga dalam program komuniti kami. Kami juga mahu menjadikan kehidupan lebih senang dan mudah untuk mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan,” kata En Rohaizad Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Selatan, Etiqa Takaful Berhad.


Etiqa Takaful turut menghadiahkan 2 unit pembersih air untuk memastikan agar penghuni-penghuni madrasah tersebut dapat menikmati kemudahan air yang bersih.


Program sepanjang satu hari ini bukanlah hanya mengenai sumbangan berbentuk kebendaan sahaja kerana lebih daripada 100 wargakerja Etiqa dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan turut hadir untuk beramah mesra dengan penghuni rumah ini melalui pelbagai aktiviti seperti sesi berkenalan, sesi motivasi, acara sukan dan permainan.


Rohaizad menerangkan, ”Ini adalah salah satu aktiviti di bawah program Tanggungjawab Zakat Korporat kami yang telah dilaksanakan selama beberapa tahun. Di bawah program ini, kami menggunakan sebahagian daripada duit zakat tahunan kami untuk memberikan bantuan terus dan segera kepada institusi-institusi yang benar-benar memerlukan bantuan kami. Sejak program ini dimulakan, kami telah membantu lebih daripada 16 institusi-institusi kebajikan dan lebih 1,500 anak-anak yatim dan keluarga yang kurang bekemampuan di seluruh negara.”


Lebih daripada RM1.5 juta ringgit dibelanjakan setiap tahun melalui program ini dan bantuan yang diberikan kepada institusi dan keluarga adalah dalam bentuk rumah-rumah baru, asrama, bilik darjah, dewan makan, surau, dewan serbaguna, makmal komputer dan infrastruktur yang lain. Bantuan juga diberi dalam bentuk kenderaan seperti van, komputer, mesin jahit, peralatan permainan dan sukan, buku-buku, alat tulis dan lain-lain lagi.


Program ini menyaksikan lebih daripada 100 wargakerja Etiqa menjadi sukarelawan di setiap institusi dan pusat yang menerima bantuan di seluruh negara seperti di Paya Rumput, Melaka; Manjoi dan Sungai Siput, Perak; Permatang Pauh, Pulau Pinang; Merbok dan Baling, Kedah; Kota Tinggi, Johor; Tumpat, Kelantan; Kuala Ibai, Terengganu; Tawau, Sabah; Arau dan Kangar, Perlis dan banyak lagi.


Lebih daripada 300 orang tetamu telah hadir ke program hari ini termasuk orang ramai, wakil-wakil Etiqa dan juga wakil-wakil daripada pihak berkuasa tempatan.


“Kami percaya bahawa semua orang boleh memainkan peranan, tidak kira sekecil mana, untuk membantu golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa kini dan untuk masa hadapan. Kami berharap agar kanak-kanak ini akan dapat terus berkembang dan membangun untuk menjadi individu yang berjaya supaya mereka pula dapat menyumbang kembali kepada komuniti dan menjadikan dunia ini lebih baik dan bermanfaat,” tambah Rohaizad.


Untuk maklumat lanjut mengenai Etiqa, sila layari laman web kami di www.etiqa.com.my atau telefon Etiqa Online di 1 300 13 8888.

No comments: