Majlis Pengawasan Syariah Etiqa Takaful

Thursday, September 8, 2011

Anak-anak Perlu Dididik Tentang Wang

Anda perlulah mendedahkan kepada anak-anak tentang pengurusan kewangan bermula daripada sekarang. Ini dapat membantu mengurangkan jumlah perbelanjaan bulanan anda. Dengan harga barang runcit yang semakin meningkat, anda sememangnya memerlukan bantuan daripada semua ahli keluarga dan tidak terkecuali juga daripada anak-anak. Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang tertanya-tanya,”Perlukah anak-anak diberi pendidikan tentang wang?”

1. Untuk menerapkan nilai dan asas yang kukuh pada anak-anak.

Mahu atau tidak, anda perlu mengakui bahawa pengurusan kewangan adalah satu keperluan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang ini yang semuanya memerlukan duit. Malangnya, ramai ibubapa yang gagal mendidik anak-anak mereka mengenai asas-asas pengurusan kewangan. Ini perlu diubah kerana mendidik anak-anak mengenai wang adalah sama pentingnya dengan mengajar anak mengenai perkara-perkara asas lain seperti memberus gigi, mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya. Pengajaran yang paling penting untuk disampaikan kepada anak-anak ialah kepentingan menabung dan mengelakkan pembaziran. Ini perlu dilaksanakan demi kebaikan anda dan anak-anak anda.

2. Duit tidak turun dari langit.

Mungkin ada anak-anak pada zaman sekarang tidak menganggap bahawa mendapatkan duit itu satu perkara yang sukar. Semuanya dianggap mudah belaka oleh mereka. Cubalah bayangkan senario yang benar-benar berlaku ini – seorang anak kecil meminta ibunya membelikannya mainan baru tapi ibunya tidak mempunyai duit yang mencukupi dalam dompetnya untuk membelikan mainan ntersebut, lalu dia berkata “Mak tidak cukup duit nak belikan adik mainan ni”.

Si anak pula dengan lurusnya menjawab “ATM ka nada. Mak keluarkan sahajalah duit daripada mesin ATM tu”. Inilah fikiran kanak-kanak zaman sekarang! Menakutkan bukan? Bagi mereka, wang yang dikeluarkan mesin ATM itu tidak ada kesudahannya, dan anda boleh ke mesin ATM pada bila-bila masa sahaja untuk mengeluarkan seberapa banyak wang yang anda mahu.

Kanak-kanak akan melalui satu peringkat dalam hidup mereka yang menyebabkan mereka ingin memiliki pelbagai jenis benda. Mereka mahukan itu, mahukan ini dan macam-macam lagi. Mereka tidak sedar bahawa untuk mendapatkan wang, anda sebagai ibu bapa perlu bekerja keras. Tidak semua yang dihajatkan boleh menjadi milik mereka. Apabila anak-anak sudah sampai keperingkat ini, sudah tiba masanya untuk anda memberikan mereka pendedahan mengenai pengurusan kewangan.

3. Mendisiplinkan anak anda mengenai wang.

Salah satu pengajaran yang paling penting dalam usaha anda mendidik anak-anak mengenai pengurusan kewangan ialah anak-anak perlu mengetahui bahawa mereka perlu mempunyai disiplin dalan berbelanja dan menguruskan wang. Ramai ibu bapa yang mungkin menggelengkan kepala dan mengeluh sambil berkata, “Kanak-kanak sekarang bukan macam dulu. Bukan mudah untuk mengajar mereka supaya berdisiplin”. Anda boleh berbahas mengenai isu disiplin ini. Namun apa yang pasti ialah disiplin itu satu keperluan. Anak-anak perlu mempunyai disiplin, sama ada dalam konteks menyimpan wang dalam akaun simpanan mahupun sekadar dalam tabung di rumah. Apabila anak-anak mengenali perbezaan antara keperluan dan kehendak serta perlunya menabung, mereka akan mempunyai disiplin untuk menabung dan mengawal diri daripada membazir. Mereka juga akan berusaha gigih untuk berbelanja mengikut kemampuan diri.

4. Untuk mengelakkan anak anda daripada menjadi generasi hutang (generation debt)

Ramai anak-anak yang masih menuntut di universiti sudah pun mempunyai hutang yang perlu mula dibayar apabila tamat pengajian. Contohnya pinjaman pelajaran atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Apa yang dikhuatiri ialah apabila memasuki alam pekerjaan, bukan saja pinjaman pelajaran yang perlu dibayar, tetapi ditambah pula dengan hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya. Jika hutang ini tidak dikawal, mereka mungkin akan dibelenggu hutang untuk tempoh yang lama. Keadaan ini mungkin akan melarat sehingga mereka sudah berkeluarga. Oleh itu, bagi mengelakkan anak-anak anda daripada ditimpa masalah seperti ini, anda perlu membimbing mereka mengenai perancangan kewangan sejak daripada awal lagi. - CRYSTAL WORLD CONSULTANCY 2011