Etiqa Takaful Berhad telah mewujudkan sebuah lagi pejabat cawangannya iaitu di Taiping, Perak dan dirasmikan pada 10 November 2009. Dengan perasmian tersebut maka bermulalah satu titik tolak yang penting dalam usaha syarikat untuk mengembangkan pasaran Takaful ke seluruh pelosok negeri Perak. Kini terdapat tiga buah pejabat cawangan Etiqa di negeri Perak sebagai menepati janjinya untuk memudahkan urusan pelanggan dan mementingkan pelanggan berbanding polisi.
Sebagai syarikat takaful terbesar di Malaysia yang kini memegang 74% peratus pasaran Takaful di negara ini, penubuhan pejabat cawangan di Taiping merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan. Ia dirasmikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pengawasan Syariah Etiqa Takaful Berhad, Tan Sri Dato' Seri Hj. Harussani bin Hj. Zakaria.
Dengan sokongan para pelanggan dan 24,000 wakil di seluruh negara, Etiqa Takaful kini berada ditahap yang membanggakan setanding dengan syarikat insurans konvensional yang lebih 100 tahun bertapak di Malaysia. Namun begitu, kebanggaan itu lebih bermakna apabila ia diraikan bersama-sama dengan mereka yang amat memerlukan. Sesaat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka memberi seribu makna buat kami di Etiqa. Perjalanan yang membawa seribu satu erti dalam kehidupan yang sungguh mencabar ini. Delegasi Etiqa bergerak menuju ke sebuah kawasan di pinggir daerah Taiping yang diberi nama, Trong. Di sini terdapat sebuah pusat jagaan anak yatim yang menjadi perhatian Etiqa sejak sekian lama.
Turut berkongsi kejayaan bersama kami ialah anak-anak yatim yang menghuni di Pusat Jagaan Ummu Sofiah, Trong, Perak. Kegembiraan terpancar di wajah mereka menyambut ketibaan rombongan delegasi Etiqa yang sudi menziarahi teratak penginapan mereka. Suasana mendung pada 9 November mengiringi kedatangan wakil dan pengurus-pengurus dari pejabat cawangan dan ibu pejabat Kuala Lumpur.
Kedatangan kami di Pusat Jagaan adalah untuk menziarahi 50 orang penghuni anak-anak yatim dan fakir miskin, berkongsi susah senang dan merasai kasih sayang dan perhatian bersama mereka yang memerlukan. Suasana menjadi lebih pilu dengan dendangan nasyid daripada sebahagian anak-anak yatim yang tiada tempat bergantung. Harapan kami agar kedatangan kami pada hari ini memberi seribu makna dan menceriakan kehidupan mereka walaupun hanya seketika.
Tiada yang dapat digambarkan ketika bersama-sama menikmati hidangan yang disediakan oleh Kentucky Fried Chicken (KFC) sambil dihiburkan oleh maskot KFC dengan gelagat yang melucukan.
Pengalaman pada hari ini diceriakan lagi dengan aktiviti gotong royong oleh ahli rombongan, merasai pengalaman menjadi penghuni di sini disamping dapat berbakti sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah membantu insan yang lain.
Pada majlis yang sederhana ini, Etiqa Takaful juga menyampaikan sumbangan permulaan 40 buah almari besi untuk kegunaan para penghuni rumah anak-anak yatim ini. Sumbangan yang berikutnya telah dibawa ke dalam mesyuarat untuk ditentukan kemudian.
Tanpa pengalaman yang istimewa ini, mungkin kita tidak merasai bagaimana mereka melalui kesusahan meneruskan kehidupan dan menyedarkan kita betapa bermaknanya kasih sayang yang dicurahkan kepada kita yang boleh memberi sinar baru untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.
Rombongan bertolak pulang dari kediaman Ummu Sofiah pada jam 6 ptg dengan diiringi wajah sayu adik-adik kami di sana. Sama-sama kita berdoa agar kami dipertemukan lagi selepas ini dan kami mendoakan agar adik-adik di Ummu Sofiah sentiasa tabah dan sabar dalam meneruskan kehidupan di dunia yang penuh dengan ujian ini. Tiada yang dapat diungkapkan selain rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu dengan mereka, mudah-mudahan adik-adik di Ummu Sofiah sentiasa di rahmati dan diberkati sepanjang masa. Amin..
Gambar-gambar kenangan: