Apabila ditanya kepada golongan lelaki tentang peranan mereka bila
mendapati isteri yang disayangi hamil, rata-rata mengakui tahu tentang
peranan yang harus dipikul.
Namun hakikatnya, tidak ramai lelaki
yang benar-benar faham akan peranan mereka. Ini kerana emosi atau 'mood'
wanita hamil selalunya lebih sensitif dan mereka sangat memerlukan
perhatian daripada suami.
Di sini diperturunkan beberapa tip buat
lelaki muda yang akan atau bakal berdepan dengan situasi di mana isteri
berbadan dua. Diharapkan dengan panduan ini, golongan lelaki lebih tahu
tentang peranan serta cara menghadapi karenah isteri yang pastinya
pelbagai hingga mampu mencabar kesabaran mereka sebagai seorang suami.
1. Kongsi maklumat kehamilan
Kehamilan
membawa perubahan kepada isteri, baik secara fizikal ataupun emosi.
Isteri yang dahulunya lincah dan segar, akan mula mudah penat, pening
dan muntah-muntah.
Sikapnya juga semakin sensitif, mudah menangis
dan marah walaupun untuk perkara yang anda rasakan tidak perlu. Kepada
lelaki, anda jangan sekali-kali bingung dengan perubahan ini. Ini kerana
ia merupakan sesuatu yang normal dan kebanyakan wanita hamil akan
melaluinya.
Walaupun berlaku perubahan pada isteri anda, itu
tidak bermakna anda tidak boleh banyak membantu. Sebagai seorang suami
yang memahami, carilah sebanyak mungkin info tentang perubahan fizikal
dan emosi yang dialami oleh isteri.
Selepas itu, cuba kongsi
pengetahuan anda dengannya. Dia pasti teruja dengan apa yang anda
ketahui. Perhatikan juga perkembangan kehamilan isteri anda, misalnya
mendengar denyut nadi dan merasai pergerakan-pergerakan yang dilakukan
oleh bayi.
Sekiranya anda mampu melakukannya, tidak mustahil
sikap anda yang pada mulanya kurang sabar dengan karenah isteri akan
berubah menjadi lebih memahami dan empati. Sikap anda yang prihatin,
pastinya akan menambahkan rasa cinta isteri terhadap anda.
2. Jaga pemakanan isteri
Ramai
suami yang mengabaikan aspek ini apabila isteri hamil dengan alasan si
isteri tahu apa yang terbaik untuk diri mereka. Tanggapan ini salah
kerana seiring dengan perubahan tubuhnya, wanita hamil juga memerlukan
beberapa zat tertentu mengikut peringkat kehamilannya.
Sebagai
suami yang prihatin, pastikan isteri anda menjaga pemakanannya dengan
kesihatan janin dan dirinya. Jika mempunyai masa, apa salahnya luangkan
masa untuk menemani isteri menjamu selera atau makan bersama-sama
dengannya.
Anda juga jangan kedekut untuk berbelanja lebih untuk
membelikan makanan berkhasiat untuk isteri. Tidak hanya soal pemakanan,
isteri juga memerlukan masa rehat yang mencukupi agar pembesaran janin
tidak terganggu.
Ketika inilah suami perlu lebih ringan tulang
membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Sikap anda yang sebegini,
pasti membuatkan isteri terharu dan bertambah menghormati anda sebagai
seorang suami.
3. Hindari stres
Sewaktu
hamil, jangan sekali-kali memberikan tekanan kepada isteri. Anda
sebagai suami perlu mengelakkan isteri daripada berdepan dengan sebarang
masalah.
Jika boleh, anda cuba selesaikan masalah yang dihadapi
tanpa memberitahu isteri. Jika terpaksa, beritahu isteri dengan cara
yang paling santai agar isteri tidak terkejut mendengarnya.
Selain
itu, jangan sekali-kali membenci perubahan bentuk tubuh isteri.
Sebaliknya kagumi bentuk tubuhnya dan katakan isteri anda kelihatan
lebih seksi ketika hamil.
Kata-kata anda mampu menenangkan
hatinya dan mengelakkannya tertekan memikirkan anda mungkin mencari
wanita lain yang lebih seksi di luar sana.
4. Temani berjumpa doktor
Kesudian
anda menemani isteri untuk bertemu dengan doktor bagi mendapatkan
rawatan memberikan makna yang cukup besar kepada isteri. Isteri akan
berasa diri mereka disayangi dan dihargai.
Ia juga menandakan
seseorang suami itu prihatin dan menyanyangi isteri serta anak yang
dikandungnya itu. Namun ada juga suami yang mengambil mudah tentang
perkara ini.
Mereka sanggup membiarkan isteri yang sarat hamil
memandu sendiri atau menaiki bas untuk mendapatkan rawatan di klinik.
Emosi isteri pastinya akan terganggu apabila melihat wanita lain
ditemani suami masing-masing ketika mendapatkan rawatan.
Situasi
ini sangat tidak sesuai buat isteri dan sebagai suami yang yang
bertanggungjawab, anda perlu mengelakkan perkara ini daripada berlaku.
Berikan isteri anda semangat dan sentiasa menemaninya sewaktu susah
mahupun senang.
No comments:
Post a Comment