KUALA LUMPUR 14 Julai - Umat Islam di negara ini disaran menyertai skim takaful supaya dapat menyemarakkan lagi konsep saling bantu-membantu apabila hasil tabungan bersama itu diagihkan kepada golongan yang dilanda musibah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pencarum skim takaful itu pula dapat mengamalkan ibadat bersedekah.
''Pencarum hanya perlu membayar jumlah yang ditetapkan setiap bulan dan cara ini lebih mudah berbanding memasukkan wang ke dalam tabung masjid dan sebagainya untuk bersedekah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Dunia Takaful-Takaful Keluarga 2010 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Etiqa, Datuk Aminuddin Md. Desa dan CEO Etiqa Takaful Berhad, Shahril Azuar Jimin.
Persidangan selama dua hari itu melibatkan 600 peserta termasuk 60 peserta luar negara seperti Britain, Nigeria, Afrika dan Eropah.
Jamil Khir berkata, umat Islam di negara ini mula menunjukkan kesedaran untuk menyertai skim takaful.
''Walaupun penembusan takaful di pasaran hanya lapan peratus dan nampak kecil berbanding skim insurans lain, tetapi ukuran ini boleh dianggap besar kepada industri yang masih baru di negara ini," katanya.
Menurutnya, pada tahun lalu sahaja sebanyak 680,000 sijil takaful keluarga telah diedarkan.
''Skim takaful memberi sumbangan berjumlah RM3.5 bilion pada tahun lalu dengan takaful keluarga berjumlah RM2.1 bilion,'' katanya.
Tambah beliau, bilangan ejen takaful di negara ini turut meningkat dan kini mencecah 88,898 orang.
''Daripada jumlah itu ejen takaful keluarga sahaja adalah seramai 55,898 orang," katanya.