Majlis Pengawasan Syariah Etiqa Takaful

Friday, December 3, 2010

Etiqa Takaful raih RM2.37 bilion

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Etiqa Takaful Bhd. (Etiqa Takaful) muncul sebagai syarikat takaful tempatan pertama meraih perolehan tertinggi berjumlah RM2.37 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2010.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Azuar Jimin dalam kenyataannya di sini berkata, dengan prestasi itu, Etiqa Takaful mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju di dalam pasaran dan industri takaful di Malaysia.

Etiqa Takaful menjadi pengendali takaful pertama untuk mencatatkan sumbangan keseluruhan melebihi RM1 bilion tiga tahun lalu.

Perolehan Etiqa Takaful menyaksikan peningkatan 32 peratus dengan sumbangan keseluruhan peniagaan takaful keluarga meningkat 30 peratus manakala takaful am 40 peratus.

Aset keseluruhan Etiqa Takaful juga bertambah sebanyak 16 peratus dan keuntungan sebelum cukai turut naik 18 peratus kepada RM107 juta berbanding RM90 juta pada tahun kewangan 2008/2009.

Shahril berkata, pencapaian Etiqa Takaful itu adalah hasil prestasi yang memberansangkan semua perniagaan dan inovasi dalam operasi serta proses-proses perniagaan.

‘‘Kekuatan Etiqa Takaful terletak kepada kemampuannya sebagai sebuah pengendali takaful yang mempunyai pelbagai saluran perniagaan.

‘‘Ia termasuk memiliki 23,000 wakil dan 30 cawangan kami berserta 450 cawangan Maybank di seluruh Malaysia dan bank-bank pihak ketiga serta perniagaan perusahaan korporat,’’ kata beliau.

Sehingga bulan Mac 2010, Etiqa Takaful menguasai 44 peratus daripada keseluruhan pasaran takaful tempatan.

Peningkatan dalam perniagaan kenderaan adalah hasil perubahan di dalam proses perniagaan baru yang melibatkan transaksi di talian dan secara mudah alih untuk pembayaran, pengeluaran polisi, pengeluaran resit dan perkhidmatan-perkhidmatan lain.

Ini menjadikannya transaksi lebih mudah dan ringkas untuk pelanggan mendapatkan perlindungan untuk kenderaan mereka.

No comments: