Sebahagian daripada sukarelawan Etiqa Takaful Berhad dan penghuni Rumah Pendidikan At-Tohiriah bergambar pada majlis Penyerahan Sumbangan Empat Unit Rumah Kepada Rumah Pendidikan At-Tohiriah, Port Dickson, baru-baru ini.
PORT DICKSON 22 Feb. - Etiqa Takaful Berhad menyumbang empat unit rumah bernilai RM240,000 di Taman Selasih dekat Lukut di sini kepada Rumah Pendidikan At-Tohiriah.
Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Takaful Berhad, Shahril Azuar Jimin berkata, rumah tersebut untuk dijadikan penempatan bagi 60 anak yatim dan kurang berkemampuan di seluruh negeri ini.
"Ini adalah salah satu aktiviti di bawah program tanggungjawab zakat korporat yang sudah dilaksanakan sejak 2006 lagi. Di bawah program ini kami menggunakan sebahagian daripada duit zakat tahunan dan memberikannya kepada institusi yang benar-benar memerlukan bantuan.
''Sejak program itu dijalankan kami sudah membantu lebih daripada 14 institusi dan rumah anak yatim serta 1,500 anak-anak yatim dan keluarga yang kurang berkemampuan di seluruh negara," katanya pada majlis Penyerahan Sumbangan Empat Unit Rumah Kepada Rumah Pendidikan At-Tohiriah di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, sebanyak RM1.5 juta dibelanjakan setiap tahun melalui program itu dalam bentuk rumah baru, asrama, bilik darjah, dewan makan, surau, dewan serbaguna, makmal komputer dan infrastruktur lain.
"Bantuan lain ialah peralatan seperti kenderaan, komputer, mesin jahit, peralatan permainan dan sukan, buku serta peralatan alat tulis," katanya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, sebanyak 100 warga kerja dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan hadir untuk beramah mesra dengan penghuni-penghuni rumah melalui pelbagai aktiviti seperti sesi berkenalan, motivasi, sukan dan permainan.
Satu sesi gotong-royong turut dijalankan bagi menjadikan kawasan rumah itu lebih bersih dan sihat untuk penghuni di situ.
Shahril berkata, semua pihak boleh memainkan peranan, tidak kira sekecil mana untuk membantu golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan menikmati kehidupan yang lebih selesa pada masa kini dan hadapan.
"Kami berharap kanak-kanak ini akan terus berkembang dan membangun, sekali gus menjadi individu yang berjaya supaya mereka pula dapat menyumbang kembali kepada komuniti," katanya.
Sementara itu, Pengurus Rumah Pendidikan At-Tohiriah, Hassan Alias berkata, hadiah yang diterima pada hari itu akan dijadikan penyuntik semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam mendidik anak-anak di sekolah itu.
"Selama sembilan tahun kami menyewa empat unit rumah di taman perumahan ini dan pada hari ini Etiqa membelikannya untuk kami sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung setiap bulan untuk penempatan pelajar.
"Dengan kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh Etiqa, diharapkan dapat membantu kami meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak supaya satu masa nanti mereka akan menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat, agama dan bangsa," katanya.
Pada majlis yang sama, warga kerja Etiqa berjaya mengutip derma kilat sebanyak RM5,631 untuk diserahkan kepada rumah pendidikan berkenaan.