Friday, March 26, 2010
Etiqa @ Taiping Sentral Mall
Pada 1 Mac hingga 6 Mac 2010, Agensi ADS dengan kerjasama Etiqa cawangan Ipoh melancarkan Program Seminggu Bersama Pelanggan yang telah diadakan di Taiping Sentral Mall.
Program ini diadakan sempena Karnival Membeli Belah 1 Malaysia yang berlangsung selama dua minggu. Karnival ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar kerana ia merupakan jualan mega yang menawarkan harga rendah yang diadakan setiap tahun.
Kaunter Etiqa juga menerima sambutan hangat daripada pengunjung. Waktu kemuncak pengunjung di sini adalah bermula jam4 petang hingga 10 malam.
Program ini mendapat kerjasama daripada 15 orang wakil Etiqa Takaful dan hasil kesungguhan mereka, program ini berjaya mendapat jumlah jualan yang melebihi sasaran yang ditetapkan. Ia sekaligus dapat memberi pengalaman kepada wakil-wakil untuk lebih berani dan agresif dalam usaha mendidik dan meyakinkan para pelanggan tentang pentingnya setiap orang mempunyai perlindungan takaful.
Di sini juga para wakil dapat berkongsi dengan pelanggan tentang kekuatan syarikat Etiqa Takaful Berhad yang sentiasa diyakini kerana pada tahun 2009, Etiqa Takaful telah memegang 74% pasaran takaful di Malaysia dan diiktiraf sebagai syarikat takaful yang terbesar di dunia.
Di atas kepercayaan inilah maka kami di Etiqa sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk memudahkan para pelanggan kami.
Sunday, March 21, 2010
Guru KAFA Selangor dilindungi takaful
Menerusi kemudahan itu, guru-guru terbabit layak menikmati ganjaran antaranya kos untuk penyakit kritikal sehingga RM10,000, rawatan di hospital RM30 sehari dan pampasan kematian antara RM20,000 hingga RM40,000.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi memberitahu, bayaran premium sebanyak RM10 sebulan adalah menerusi wang zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) di bawah asnaf fisabilillah.
Jumlah premium keseluruhan adalah sebanyak RM748,000 setahun.
"Kemudahan ini merupakan penghargaan kepada guru-guru KAFA yang selama ini berusaha gigih melaksanakan tugas murni demi pembangunan Islam.
"Ia juga adalah satu nilai tambah kepada golongan guru terbabit yang selama ini turut menerima elaun peruntukan agihan zakat di bawah asnaf fisabilillah membabitkan berjumlah RM30 juta setiap tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan caruman Skim Takaful Kepada Guru-Guru KAFA di sini hari ini.
Insurans perlindungan itu dikendalikan oleh syarikat Tradewinds International Insurance Brokers Sdn. Bhd., manakala takaful berkelompak disediakan oleh Etiqa Takaful Berhad.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Takaful Berhad, Datuk Aminuddin Md.Desa dan Ketua Pegawai Eksekutif Tradewinds, Norhayati Mohamed.
Mohamed Khusrin berharap menerusi program insurans itu, ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membayar zakat kerana kutipannya dapat disalurkan kepada golongan-golongan yang memerlukan.
Sementara, itu salah orang guru KAFA yang ditemui, Abu Bakar Othman, 69, melahirkan rasa syukur kerana atas keprihatinan JAIS dan LZS terhadap kebajikan dan masa depan golongan pendidik.
''Bagi saya, guru-guru KAFA yang muda bertuah kerana selain elaun sudah mencecah RM1,000 sebulan sekarang, mereka kini dilindungi insurans seperti bekerja di bidang-bidang lain," ujarnya yang sudah 16 tahun menjadi guru KAFA di Sekolah Darul Quran Seksyen 28 di sini.
Kemudahan itu juga, katanya, dapat meningkatkan semangat guru-guru serta dapat menggalakkan lebih ramai individu untuk menjadi guru KAFA pada masa hadapan.
Bagi Rossilawati Mohd. Jailani, 30, pula, perlindungan insurans itu amat dihargai dan menggambarkan usaha serta pengorbanan guru-guru selama ini tidak diabaikan sebaliknya dihargai oleh pihak berkenaan.
Katanya, guru-guru KAFA tentunya berasa lebih bersemangat untuk menunaikan amanah demi kemajuan syiar Islam di negara ini.
Sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah
Ia diadakan pada 25 Februari 2010 bermula jam 7.30 malam. Program di mulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah yang disertai oleh wakil dan pengurus dari pelbagai agensi. Ia diteruskan dengan bacaan Yasin dan tahlil untuk dihadiahkan kepada arwah ahli keluarga masing-masing yang telah menyahut panggilan Ilahi disamping memohon keberkatan menyambut Maulidur Rasul dan keredhaan dalam menjalankan kehidupan seharian.
Program ini diselitkan dengan Sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. yang menjadi pedoman setiap umat. Sirah ini telah disampaikan oleh Ustaz Sharul Aman yang juga merupakan Pengurus Agensi Etiqa Takaful daerah Taiping.
Beliau berkata, amat penting bagi seluruh umat Islam memahammi dan menghayati pengorbanan Rasulullah S.A.W. menyampaikan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T., ajaran Islam yang benar bagi umatnya di bumi Makkah dan Madinah. Ujian dan kesengsaraan yang dihadapi baginda perlu dirasai oleh umat Islam pada hari ini bagi menanam rasa cinta dan kasih sayang kita kepada baginda.
Ustaz turut menekankan tentang pentingnya para wakil mengamalkan sunnah baginda dalam menjalankan perniagaan supaya segala usaha murni untuk menegakkan muamalat Islam sentiasa mendapat perlindungan dan keberkatan dariNya. Selesai kuliah Sirah Nabi pada malam itu, peserta menunaikan solat Isyak beramai-ramai.
Disamping itu, pihak cawangan juga telah mengadakan kutipan amal untuk disumbangkan kepada rumah anak yatim dan Ma'had Tahfiz yang terpilih. Mudah-mudahan program seperti ini akan menjadi pemangkin dan perintis kepada program yang lain yang dapat menyatukan para wakil dalam menjalankan perniagaan dengan amanah dan ikhlas.
Thursday, March 4, 2010
Etiqa sumbang empat rumah untuk anak yatim
PORT DICKSON 22 Feb. - Etiqa Takaful Berhad menyumbang empat unit rumah bernilai RM240,000 di Taman Selasih dekat Lukut di sini kepada Rumah Pendidikan At-Tohiriah.
Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Takaful Berhad, Shahril Azuar Jimin berkata, rumah tersebut untuk dijadikan penempatan bagi 60 anak yatim dan kurang berkemampuan di seluruh negeri ini.
"Ini adalah salah satu aktiviti di bawah program tanggungjawab zakat korporat yang sudah dilaksanakan sejak 2006 lagi. Di bawah program ini kami menggunakan sebahagian daripada duit zakat tahunan dan memberikannya kepada institusi yang benar-benar memerlukan bantuan.
''Sejak program itu dijalankan kami sudah membantu lebih daripada 14 institusi dan rumah anak yatim serta 1,500 anak-anak yatim dan keluarga yang kurang berkemampuan di seluruh negara," katanya pada majlis Penyerahan Sumbangan Empat Unit Rumah Kepada Rumah Pendidikan At-Tohiriah di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, sebanyak RM1.5 juta dibelanjakan setiap tahun melalui program itu dalam bentuk rumah baru, asrama, bilik darjah, dewan makan, surau, dewan serbaguna, makmal komputer dan infrastruktur lain.
"Bantuan lain ialah peralatan seperti kenderaan, komputer, mesin jahit, peralatan permainan dan sukan, buku serta peralatan alat tulis," katanya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, sebanyak 100 warga kerja dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan hadir untuk beramah mesra dengan penghuni-penghuni rumah melalui pelbagai aktiviti seperti sesi berkenalan, motivasi, sukan dan permainan.
Satu sesi gotong-royong turut dijalankan bagi menjadikan kawasan rumah itu lebih bersih dan sihat untuk penghuni di situ.
Shahril berkata, semua pihak boleh memainkan peranan, tidak kira sekecil mana untuk membantu golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan menikmati kehidupan yang lebih selesa pada masa kini dan hadapan.
"Kami berharap kanak-kanak ini akan terus berkembang dan membangun, sekali gus menjadi individu yang berjaya supaya mereka pula dapat menyumbang kembali kepada komuniti," katanya.
Sementara itu, Pengurus Rumah Pendidikan At-Tohiriah, Hassan Alias berkata, hadiah yang diterima pada hari itu akan dijadikan penyuntik semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam mendidik anak-anak di sekolah itu.
"Selama sembilan tahun kami menyewa empat unit rumah di taman perumahan ini dan pada hari ini Etiqa membelikannya untuk kami sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung setiap bulan untuk penempatan pelajar.
"Dengan kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh Etiqa, diharapkan dapat membantu kami meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak supaya satu masa nanti mereka akan menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat, agama dan bangsa," katanya.
Pada majlis yang sama, warga kerja Etiqa berjaya mengutip derma kilat sebanyak RM5,631 untuk diserahkan kepada rumah pendidikan berkenaan.