Industri takaful di Malaysia berkembang secara progresif sejak
ditubuhkan lebih dua dekad lalu. Pertumbuhan industri takaful Malaysia
digalakkan secara menyeluruh melalui pendekatan pragmatik dalam
membangunkan industri kewangan Islam. Menurut Bank Negara Malaysia,
industri takaful mengalami pertumbuhan purata 27 peratus dari segi
caruman bersih antara 2005 dan 2010 dengan segmen takaful keluarga
memacu pertumbuhan pada kadar 28 peratus bagi tempoh sama. Ia sekali gus
menguasai lebih 80 peratus jumlah pasaran takaful pada 2010.
Hari ini, Malaysia memiliki pasaran kedua terbesar takaful di dunia
dengan jumlah aset bernilai RM9.6 bilion (AS$3.2 bilion), menguasai 26
peratus daripada jumlah aset takaful global pada tahun 2009. Ikuti temu
bual wartawan Bisnes Metro, Shanty Nur Shaffizan Shafee dengan Ketua
Pegawai Eksekutif CIMB Wealth Advisor, Tan Beng Wah yang mengulas lebih
lanjut industri takaful Malaysia.
BAGAIMANA situasi pertumbuhan instrumen takaful di Malaysia ketika ini?
Industri
takaful Malaysia memberi peluang pertumbuhan luas dengan melihat kepada
permintaan tinggi kepada produk berkaitan pelaburan. Selain itu, ia
disokong peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita serta
kapasiti pengguna Melayu yang tidak tinggi memiliki perkhidmatan
perlindungan insurans.
Bukan itu saja, kadar penembusan segmen perkhidmatan takaful
yang tertentu di pasaran masih rendah terutama takaful perubatan dan
kesihatan yang hanya menyumbang sembilan peratus daripada perniagaan
baru dalam takaful keluarga pada 2010. Ini sekali gus memberikan potensi
besar pertumbuhan industri ini.
Malaysia juga dilihat memberi sokongan kuat kepada industri
dengan insentif cukai yang ditawarkan kerajaan. Selain itu, transformasi
Malaysia dari negara berpendapatan sederhana kepada negara
berpendapatan tinggi membuka peluang pertumbuhan berterusan kerana
industri takaful dapat mengambil kesempatan daripada pelanggan
berkemampuan dengan meluaskan perkhidmatan mereka seperti menawarkan
produk lebih canggih berkaitan pengurusan pelaburan dan kekayaan.
Apa yang menarik, produk takaful ditawarkan kepada kedua-dua pengguna
Islam dan bukan Islam, pada masa sama mengekalkan pematuhan syariah
dalam operasi perniagaan.
Apakah nilai utama pada instrumen takaful?
Takaful
dicipta berdasarkan konsep perpaduan sosial, kerjasama dan rugi
bersama. Ia satu pakatan di kalangan sekumpulan orang yang bersetuju
bersama menanggung rugi atau kerosakan yang mungkin menimpa mereka.
Konsep ini penting kerana tujuan utama takaful bukanlah perlindungan
semata-mata. Ini kerana dalam Islam, tujuan pelaburan di takaful bagi
membantu sesama manusia terutama dari golongan dermawan.
Perlu
diingatkan, takaful bukan alat pelaburan yang didorong oleh kerana ia
tidak bersandarkan kepada keuntungan. Namun, industri takaful
memperlihatkan potensi tinggi seperti pengembangan kukuh dengan kadar
pertumbuhan tahunan, jumlah aset dan sumbangan purata antara 20 peratus
dan 26 peratus sepanjang tempoh 2004 hingga 2009.
Apakah salah tanggapan umum berkaitan takaful?
Terdapat
tiga salah faham utama mengenai takaful. Pertama banyak syarikat
insurans menjadikan takaful satu bentuk insurans. Akibatnya, apabila
ada syarikat insurans membangunkan produk takaful, mereka mengambil
pendekatan konvensional yang tidak merangkumi prinsip syariah.
Ini
bermaksud, mereka membangunkan produk takaful, namun struktur itu
tidak konsisten dengan konsep takaful itu sendiri. Produk takaful tidak
harus dianggap alat pelaburan yang digunakan untuk menjana lebih wang
kepada penyimpan. Pengendali takaful seharusnya mereka produk sesuai
dengan keperluan masyarakat untuk memenuhi tujuan takaful itu sendiri.
Keduanya, masyarakat tersalah tafsir dengan menjadikan takaful sebagai
satu bentuk perlindungan. Perlu ada kesedaran awam bahawa takaful pada
dasarnya suatu jalan untuk umat Islam membantu orang lain dalam
masyarakat. Ini bermakna sebagai instrumen perlindungan sebahagian dari
kewajipan seorang Muslim untuk mengadakan peruntukan takaful bagi
keluarga dan masyarakat.
Ketiga, salah faham antara pengendali
takaful konvensional yang mereka produk takaful dengan meniru produk
insuran konvensional. Pengendali takaful sebaliknya perlu melihat dari
konsep produk asas dan mewujudkan instrumen yang sesuai dalam keperluan
prinsip syariah.
Credit: Harian Metro 22 April 2012
No comments:
Post a Comment