Majlis Pengawasan Syariah Etiqa Takaful

Sunday, March 21, 2010

Guru KAFA Selangor dilindungi takaful

SHAH ALAM 18 Feb. - Sebanyak 6,236 guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor kini dilindungi insurans berkelompok menjadikan mereka adalah kumpulan pertama guru-guru KAFA di negara ini yang disediakan kemudahan berkenaan.

Menerusi kemudahan itu, guru-guru terbabit layak menikmati ganjaran antaranya kos untuk penyakit kritikal sehingga RM10,000, rawatan di hospital RM30 sehari dan pampasan kematian antara RM20,000 hingga RM40,000.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi memberitahu, bayaran premium sebanyak RM10 sebulan adalah menerusi wang zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) di bawah asnaf fisabilillah.

Jumlah premium keseluruhan adalah sebanyak RM748,000 setahun.

"Kemudahan ini merupakan penghargaan kepada guru-guru KAFA yang selama ini berusaha gigih melaksanakan tugas murni demi pembangunan Islam.

"Ia juga adalah satu nilai tambah kepada golongan guru terbabit yang selama ini turut menerima elaun peruntukan agihan zakat di bawah asnaf fisabilillah membabitkan berjumlah RM30 juta setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan caruman Skim Takaful Kepada Guru-Guru KAFA di sini hari ini.

Insurans perlindungan itu dikendalikan oleh syarikat Tradewinds International Insurance Brokers Sdn. Bhd., manakala takaful berkelompak disediakan oleh Etiqa Takaful Berhad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Takaful Berhad, Datuk Aminuddin Md.Desa dan Ketua Pegawai Eksekutif Tradewinds, Norhayati Mohamed.

Mohamed Khusrin berharap menerusi program insurans itu, ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membayar zakat kerana kutipannya dapat disalurkan kepada golongan-golongan yang memerlukan.

Sementara, itu salah orang guru KAFA yang ditemui, Abu Bakar Othman, 69, melahirkan rasa syukur kerana atas keprihatinan JAIS dan LZS terhadap kebajikan dan masa depan golongan pendidik.

''Bagi saya, guru-guru KAFA yang muda bertuah kerana selain elaun sudah mencecah RM1,000 sebulan sekarang, mereka kini dilindungi insurans seperti bekerja di bidang-bidang lain," ujarnya yang sudah 16 tahun menjadi guru KAFA di Sekolah Darul Quran Seksyen 28 di sini.

Kemudahan itu juga, katanya, dapat meningkatkan semangat guru-guru serta dapat menggalakkan lebih ramai individu untuk menjadi guru KAFA pada masa hadapan.

Bagi Rossilawati Mohd. Jailani, 30, pula, perlindungan insurans itu amat dihargai dan menggambarkan usaha serta pengorbanan guru-guru selama ini tidak diabaikan sebaliknya dihargai oleh pihak berkenaan.

Katanya, guru-guru KAFA tentunya berasa lebih bersemangat untuk menunaikan amanah demi kemajuan syiar Islam di negara ini.

No comments: