Majlis Pengawasan Syariah Etiqa Takaful

Sunday, March 21, 2010

Sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah


Etiqa Takaful cawangan Taiping dengan kerjasama Agensi ADS telah menganjurkan sambutan Mauludur Rasul peringkat daerah Taiping. Sambutan ini merupakan program yang julung kali di adakan bersempena dengan Maulidur Rasul di negeri ini.

Ia diadakan pada 25 Februari 2010 bermula jam 7.30 malam. Program di mulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah yang disertai oleh wakil dan pengurus dari pelbagai agensi. Ia diteruskan dengan bacaan Yasin dan tahlil untuk dihadiahkan kepada arwah ahli keluarga masing-masing yang telah menyahut panggilan Ilahi disamping memohon keberkatan menyambut Maulidur Rasul dan keredhaan dalam menjalankan kehidupan seharian.

Program ini diselitkan dengan Sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. yang menjadi pedoman setiap umat. Sirah ini telah disampaikan oleh Ustaz Sharul Aman yang juga merupakan Pengurus Agensi Etiqa Takaful daerah Taiping.

Beliau berkata, amat penting bagi seluruh umat Islam memahammi dan menghayati pengorbanan Rasulullah S.A.W. menyampaikan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T., ajaran Islam yang benar bagi umatnya di bumi Makkah dan Madinah. Ujian dan kesengsaraan yang dihadapi baginda perlu dirasai oleh umat Islam pada hari ini bagi menanam rasa cinta dan kasih sayang kita kepada baginda.

Ustaz turut menekankan tentang pentingnya para wakil mengamalkan sunnah baginda dalam menjalankan perniagaan supaya segala usaha murni untuk menegakkan muamalat Islam sentiasa mendapat perlindungan dan keberkatan dariNya. Selesai kuliah Sirah Nabi pada malam itu, peserta menunaikan solat Isyak beramai-ramai.

Disamping itu, pihak cawangan juga telah mengadakan kutipan amal untuk disumbangkan kepada rumah anak yatim dan Ma'had Tahfiz yang terpilih. Mudah-mudahan program seperti ini akan menjadi pemangkin dan perintis kepada program yang lain yang dapat menyatukan para wakil dalam menjalankan perniagaan dengan amanah dan ikhlas.


Barisan wakil yang turut serta

Eksekutif Takaful Am dan Keluarga, En. Naim

Pengurus cawangan, En. Nasir bersana wakil mengambil juadah

Pengurus Agensi Kumpulan, Hj. Ahmad Damanhuri


No comments: